Sabtu, 8 Januari 2011

Sekali menjadi cikgu, selamanya bergelar cikgu

Selamat malam. Tika jari ini leka dan asyik menekan huruf demi huruf..(menulis)tidak ku lupa memanjatkan kesyukuran kepada-Nya kerana diberikan kesempatan untuk aku menulis dalam laman ini. Demi masa, sesungguhnya aku tidak mahu menjadi hamba-Nya yang lalai mengejar keduniaan. Ketika aku menulis ini, diriku sudah ada panggilan rasmi iaitu "cikgu" yang menjadi cita-citaku ketika aku masih di bangku sekolah lagi. Meskipun ketika masa dahulu ada banyak cita-cita yang aku berikan kepada guru yang bertanya saban tahun,namun cikgu la yang aku rasakan begitu sebati dalam diriku. Telah banyak pengorbanan, ranjau yang aku tempuhi untuk bergelar "cikgu". Aku bersyukur kerana Allah telah menolongku mencapai cita-cita ini. Aku berazam dalam diriku bahawa "sekali menjadi cikgu, selamanya bergelar cikgu".
Ketika kaki ini melangkah ke sekolah, perasaanku berbaur pelbagai rasa. Ada rasa gembira, terharu, bangga, namun segera aku ingatkan diriku agar tidak mudah lupakan diri. Nawaitu aku yang satu, mencurahkan ilmu ke daun-daun yang dahagakan belaian ilmu. Harapanku agar ilmu yang aku berikan akan dapat menjadi bekalan kepada mereka meneruskan kehidupan.Bukan sekadar untuk lulus dan mncapai keputusan cemerlang, sebaliknya diamalkan dalam kehidupan seharian..InsyaAllah. Di sini, aku selitkan satu puisi untuk anak muridku

Muridku,
Datang ke sekolah bersama buku
Tika waktu masih pagi
di dalam dada berisi niat yang satu

Muridku,
Sedarkan segera dirimu
ketika mana diulit kealpaan
berselimutkan kelalaian
itu amat merugikan

Muridku,
Jadilah anak yang berjasa
Harapan keluarga, harapan bangsa,harapan negara
Bangunlah dari kerusi kemalasan
Bangun menggapai bintang bekerlipan

Selasa, 21 Disember 2010

pesan anak muridku...kepada remaja melayu

PESAN ANAK MURIDKU KEPADA REMAJA KINI

bermulalah cerita anak melayu,
muka memang cute dan malu-malu,
tapi dalam jiwa kacau dan celaru,
bila dah sampai ke tahap itu,
mulalah buat perkara yang tak tentu,
buat pulak melulu tak pikir dulu,
itulah anak melayu,
buat apa-apa tak pikir masa depan dulu,

mula-mula keluar rumah cakap kat mak nak buat kerja kursus cikgu Hanim,
rupa-rupanye nak keluar dengan awek Kulim,
keluar rumah ak ayah nampak alim
padahal bila mak ayah tak de mulalah buat perkara yang boleh
menghilangkan alim...
saya sebagai anak melayu ini cuba la nak nasihatkan ,
jangan ikut perangai dan hasutan syaitan,
nanti nasi dah jadi bubur tak berselera nak makan,
mulalah baru nak cari bantuan dari kiri dan kanan
mak ayah selama ini tak dipedulikan
tanggunglah sendiri wahai anak melayu dan anak tempatan..
ingatlah dunia ini bukan kekal dan diharapkan nasihat ni dipedulikan

berbalas pantun..

Amalan berpantun dalam perbualan sesekali ada rasa indahnya.. pantun ini merupakan pantun yang dijual dan dibeli oleh salah seorang sahabatku…terima kasih sahabatku kerana dapat berkongsi pantun dengan diriku ini. teruslah berpantun agar puisi ini tidak terus tenggelam dek zaman..


Buah langsat masak kuning
Buah durian penuh duri
Suasana malam sunyi hening
Selamat malam ucapanku beri

Buah langsat dijual di pekan
Buah durian dijual cik bedah
Selamat malam daku ucapkan
Semoga mimpi nan indah

Sang rembulan menyinar terang
Cahaya terang menerangi alam
Rasa susah mula bersarang
Pabila dirimu duduk berdiam

Waktu petang makan pisang
Pisang emas kiriman lili
Rajukku bukan terlalu panjang
Andai dirimu sudi menemani

Awal pagi buat sarapan
Sarapan dibuat seikhlas hati
Selamat pagi daku ucapkan
Moga ceria sepanjang hari

Assalamualaikum dan selamat pagi
Pi kelas tu hati2

UPSI..SEBUTIR MUTIARA

SEBUTIR MUTIARA
I Mei 1997
Telah 10 tahun ia berlalu
Menjadi sejarah penuh berharga
Ibarat sebuah sampan yang telah diukir baru
Dengan keunikan yang cantik dan menjadi kebanggaan kepada
Mereka yang menaikinya
Begitulah kau UPSI
Setelah berjaya dari peringkat ke peringkat
Dari satu zaman ke zaman yang lain
Bermula dengan nama SITC untuk melahirkan guru
Sebagai bekalan kepada generasi seterusnya
Hinggalah kau mula bertukar ke MPSI dan kemudiannya IPSI
Serta kini mudah bagimu dikenali sebagai UPSI
Gedung mencari ilmu dan melahirkan guru
Yang berdedikasi dan berdaya saing dalam
Zaman yang penuh pancaroba

AKU DI CAMERON

AKU DI CAMERON HIGHLAND

Tidak kuduga akan datang semula ke sini
daerah yang memang terkenal
di kalangan pelancong
baik dalam negara mahupun dari luar negara
istimewanya?sudah pasti cuacanya yang begitu dingin sekali
tambahan pula, tempat yang sesuai untuk bercucuk tanam
dengan iklim yang lembab dan sejuk

Di sini,
adanya strawberi yang ada auranya
menjadi tumpuan pada setiap yang datang
ada juga sayur-sayuran yang segar sekali
kubis,timun,lobak,tomato dan sebagainya
dijual dengan harga yang menarik sekali
pastinya yang melihat akan tertarik
untuk membeli dan menikmatinya

Untuk yang gemarkan bunga-bungaan
di sinilah juga tempat yang disukai
ada ros,orkid dan bunga yang lain
sekali pandang pasti tak jemu
rasa kagum pasti menjamah di hati

Datanglah, datanglah ke sini
pastinya kenikmatan akan dapat dirasai

Ahad, 7 Februari 2010

hari praktikum

18 Januari,
saat yang penting dalam hidupku
setelah hampir 4 abad aku di UPSi
berbekalkan segala ilmu
aku melangkah ke alam
yang baru
lubuk carian ilmu
dengan himpunan segala buku-buku

18 Januari
hari dihitung saat dicantum
ku bawa diriku
memasuki lorong pencarian
mendekati si baju putih, biru
merapati tokoh di SMKD
cemerlang, gemilang dan terbilang

18 Januari
kejauhan tidak melunturkan
semangat membaraku
kepada ratusan pelajar
yang putih dadanya
bagaikan kain yang akan dicorakkan
dengan pelbagai warna
pelbagai corak
pelbagai ragam dan bentuknya

18 Januari
kusematkan dadaku dengan semangat
memberikan pengalaman yang berguna
segala alat, edaran bahan ku gunakan
demi nama sebuah kefahaman.

Jumaat, 30 Oktober 2009


Salam kepada semua,
Peperiksaan akhir semester dah hampir tiba. Semoga saya serta anda juga akan dapat menjawabnya dengan baik dan memperoleh keputusan yang cemerlang. Ingin saya mengingatkan diri sendiri dan anda agar terus berusaha bersungguh-sungguh mencapai keputusan yang anda idamkan. Namun, sekiranya anda gagal, bukan bermakna anda selamanya gagal tetapi pastinya itu sudah dirancang untuk anda. Jadi bersyukurlah apabila memperoleh keputusan. Ingatlah usaha itu tangga kejayaan. Berkali-kali mengalami kegagalan lebih baik untuk mendapat satu kejayaan kerana kita akan dapat merasa kemanisan di sebaliknya. Sekian. Selamat menduduki peperiksaan kepada semua sahabat sastera melayu semester 7 dan kepada semua yang membaca ruangan ini. Semoga anda semua diberi kesihatan yang baik serta ketenangan fikiran oleh Nya sepanjang tempoh peperiksaan. Mintalah doa dan restu daripada mak dan ayah kerana doa merekalah yang terbaik untuk kita.