Jumaat, 6 Mac 2009

MALAM APRESIASI PUISI


Pada 4 Mac 2009 bertempat di Auditorium Utama Universiti Pendidikan Sultan Idris telah diadakan satu majlis untuk Palestin dengan nama ‘Malam Apresiasi Puisi Untuk Palestin’. Majlis ini telah dihadiri oleh VVIP misalnya Naib Canselor UPSI iaitu Yang Berbahagia Dr Aminah Ayob, Dato seri Isa bin Samad serta barisan kehormat yang lain. Program ini dilaksanakan atas kerjasama Fakulti Bahasa khususnya Jabatan Kesusasteraan Melayu dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Murid(HEP), Persatuan Mahasiswa Persuratan Melayu dan Majlis Perwakilan Pelajar(MPP).
Pada malam tersebut sebuah buku antologi puisi kemanusiaan telah dilancarkan. Antologi puisi kemanusiaan ii berjudul ‘wahai api jadilah dingin jadilah embun’ memuatkan 250 buah sajak karya penyair-penyair tanah air, pensyarah UPSI, penyajak dalam kalangan pelajar program pendidikan kesusasteraan melayu upsi dan peminat sastera. Menurut A.Halim Ali pensyarah di Jabatan Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa, UPSI yang juga penyelenggara buku ini, ‘antologi wahai api jadilah embun jadilah dingin’ tertumpu kepada kezaliman, penderitaan, kemusnahan akibat peperangan, harapan dan persaudaraan. Ia suatu penyataan rasa sedih, simpati, penyataan harapan dan kemanusiaan yang sangat murni. Pada malam ini juga telah diadakan satu kutipan derma untuk diserahkan kepada rakyat palestin. Malam tersebut diserikan dengan beberapa persembahan daripada wakil VVIP, pensyarah, pelajar sekolah, dan mahasiswa UPSI. Di bawah ini saya ada sertakan contoh puisi yang dimuatkan dalam buku antologi puisi ‘wahai api jadilah dingin jadilah embun’.

DI SEBALIK PEPERANGAN

Peperangan, kezaliman, kesengsaraan
Semuanya menjadi satu
Pabila sudah tiada rasa sesama insan
Salah siapa?
Anak-anak kecil yang tidak berdosa
Menjadi mangsa kezaliman
Dek kemarahan tanpa fikir akal
Tiada kewarasan
Pembunuhan dan kehancuran
Asalkan tercapai apa yang dicita-cita
Tidak sedarkah mereka
Tiada matakah mereka
Tiada telingakah mereka
Melihat, mendengar ratap tangis
Jeritan yang tiada henti

Ratap, tangis tiada guna lagi
Untuk siapa semuanya?
Si anak tidak akan pulang
Biar berkali air mata menitis ke bumi
Anak tetap tidak akan kembali
Hanya doa mampu diberi
Buat anak yang tidak berdosa


inilah contoh buku kelolaan En. Halim Ali, Pensyarah Kesusasteraan Melayu,Fakulti Bahasa, UPSI.