Ahad, 13 September 2009

ramadhan kian berakhir

Sedar tak sedar dah dekat sepurnama kita umat islam menunaikan puasa. Pejam celik pejam celikdah 22 hari puasa. Sungguh cepat masa berlalu. Sempena bulan yang penuh dengan keberkatan ini semoga kita semua saling bermaaf-maafan. Yang keruh kita jernihkan, yang bersimpul kita leraikan. Semoga dengan bermaafan akan menjadi hambaNya yang mendapat keredhaan. Tidak guna berselisih faham sesama kita kerana ia hanya akan merugikan. Ingatlah kita semua ciptaan yang dikurniakan akal fikiran berbanding makhluk lain tetapi kita bukannya sempurna. Semestinya kita melakukan kesilapan dan kerana itulah perlu adanya sifat saling bermaaf-maafan sesama kita. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Semoga persahabatan akan menjadi suatu ikatan silaturrahim yang sejati.

Hayatilah puisi yang saya karang.

RAMADHAN TIBA LAGI

Berakhir sudah bulan syaaban
Dimulai pula dengan awal ramadhan
Bulan yang ditunggu-tunggu dengan kesabaran
Menyambutnya dengan keinsafan

Ramadhan tiba lagi.
bulan yang penuh dengan keberkatan
ditutup pintu neraka
dibuka pintu syurga seluasnya
mengerjakan yang baik
banyak ganjaran pahalanya

Ramadhan tiba lagi
Menahan lapar dan dahaga
Serta deria yang ada daripada perkara
Yang boleh menyusutkan pahala puasa
Umpat dan keji mula dilupa
Saling bertukar juadah menjadi budaya
Pabila tiba waktu senja


Selasa, 8 September 2009

imbauan kisah semalam

Sepanjang aku berada di UPSI, pelbagai aktiviti aku lalui. Semuanya dilakukan demi minatku terhadap dunia mendeklamasi puisi. Masih ku ingat saat aku mempersembahkan sebuah puisi di pwtc sempena pesta buku antarabangsa. Perasaan aku di kala itu gembira dan juga sedikit takut maklumlah aku seorang sahaja di atas pentas. Sebelum ini aku di atas pentas dengan ditemani oleh kawan-kawan seperti Huda, Izwan, Nicole, dan Anis. Itu setahun yang lepas sewaktu aku bersama kawan-kawanku itu membuat persembahan yang bertajuk ilmu, amal dan apa entah. Aku dah tak ingat tapi itu bukan hasil karyaku tapi hasil karya Aniza Binti Wahit, salah seorang kawan yang selalu bersama. Memang ini merupakan pengalaman aku membuat persembahan di luar seorang diri. Bersama ini aku sertakan puisi yang telah aku deklamasikan dengan penuh perasaan huhu. Hasil karya Nik Mira Izyanie atau Kak long.

Tajuk :Jangan datang lagi
Aku bangkit lagi
Seperti hari-hari lain
Capai tuala terus ke telaga
Bersihkan diri

Aku bangun lagi
Seperti hari-hari lalu
Tersemat semangat yang satu
Pimpin kurang tujuh, seratus
Pucuk-pucuk harapan
Di daerah terpencil ini

Diri aku bersama terbitnya mentari
Tancapkan tiang-tiang ilmu
Suburkan kehidupan baru
Kuburkan kesedihan yang mahal itu


Hari-hari ku dodoikan mereka
Makin lama makin mendalam laguku
Redha sahaja yang sudah pergi
Kita di sini teruslah bernafas
Moga cantik langkah kita ke sana

Biar papa kedana
Walau sebatang kara
Mereka anak-anak yang bijak

Bacalah....mereka semua membaca
Tulislah....mereka semua menulis
Hitunglah .....mereka semua menghitung
Nyanyilah...mereka semua menyanyi

Kemudian ku sedar
seorang anak diam membatu
tidak membaca
tidak menulis
tidak menghitung
tidak menyanyi

perlahan-lahan ku rapati
air matanya deras membasahi pipi
ku sapa lembut
anak itu terus dakapku
esak tangisnya jelas kedengaran
tutur anak itu
hari inilah tanggalnya
bisa ia tak datang lagi?
ku rindu ummi dan ayah
tak mahu hilang cikgu pula

kutenangkan anak itu
pujuknya baca, tulis, hitung dan nyanyi
sambil memohon padaMu
jangan ia datang lagi